BEIRUT, 26 Oktober - Dua orang terbunuh dan seorang lagi cedera dalam dua serangan udara oleh Israel di selatan Lubnan, meskipun gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah masih berkuat kuasa.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan oleh rejim itu menyasarkan daerah Nabatiyeh dan Tyre.
Tentera Israel kemudian kononnya mendakwa serangan tersebut telah membunuh komander unit antikereta kebal pasukan Radwan milik Hezbollah, Zayn al-Abidin Hussein Fatouni, yang didakwa terlibat membina semula infrastruktur ketenteraan kumpulan.
Serangan terbaharu itu menyusul selepas beberapa siri pengeboman Israel pada minggu lalu, yang turut meragut empat nyawa, termasuk seorang wanita warga emas.
Walaupun perjanjian gencatan senjata dimeterai pada November 2024, Israel dilapor terus mengekalkan tenteranya di lima kawasan sempadan strategik.
Kerajaan Lubnan pula kini ditekan Amerika Syarikat untuk melucutkan senjata Hezbollah, langkah yang ditentang keras kumpulan itu dan sekutunya. -AFP