fb fb fb fb fb

Lapangan Terbang Vilnius ditutup lagi akibat belon cuaca dari Belarus

Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Vilnius di Lithuania yang ditutup sekali lagi pada Sabtu / REUTERS

VILNIUS, 26 Oktober -Lapangan Terbang Antarabangsa Vilnius di Lithuania sekali lagi ditutup pada Sabtu selepas beberapa belon cuaca dikesan memasuki ruang udaranya dari negara jiran, Belarus.

Pusat Pengurusan Krisis Negara (NCMC) Lithuania memaklumkan, semua operasi penerbangan dihentikan sementara hingga pukul 2 pagi waktu tempatan.

Penutupan itu merupakan yang keempat sepanjang Oktober, menandakan gangguan udara semakin kerap berlaku di rantau Baltik.

Penutupan serupa turut berlaku pada Jumaat apabila negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu, menutup dua lapangan terbang utama serta beberapa pintu sempadan selepas belon berisi helium dari Belarus dikesan masuk ke wilayahnya.

Pihak berkuasa Lithuania mendakwa belon-belon itu digunakan pihak tertentu untuk membawa rokok seludup.

Namun, mereka turut menyalahkan Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, sekutu rapat Presiden Rusia, Vladimir Putin, kerana gagal mengawal aktiviti itu.

Perdana Menteri Lithuania, Inga Ruginiene, berkata, Suruhanjaya Keselamatan Negara akan bermesyuarat minggu depan bagi menilai ancaman keselamatan udara yang semakin meningkat.

Insiden berulang di ruang udara Baltik itu menambah kebimbangan keselamatan penerbangan Eropah.

Gangguan serupa turut dilaporkan di Copenhagen, Munich dan beberapa lapangan terbang utama Eropah Utara akibat pencerobohan dron serta objek udara tidak dikenali. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN