KINGSTON, 26 Oktober -Ribut Tropika Melissa semakin menghampiri Jamaica dan dijangka bertukar menjadi taufan penuh menjelang malam Sabtu.
Jabatan Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) memberi amaran keadaan bakal menjadi semakin genting dalam tempoh 24 jam.
Timbalan Pengarah NHC, Jamie Rhome, berkata, ribut itu bergerak perlahan ke arah Jamaica dengan membawa hujan antara 51 hingga 76 sentimeter, sekali gus berisiko mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di kawasan berbukit.
“Jamaica kini berada bawah amaran taufan. Berdasarkan maklumat terkini, kami yakin angin berkelajuan tinggi pasti melanda sebahagian besar pulau ini.
Namun yang paling membimbangkan ialah hujan berterusan dan banjir besar kerana ribut ini bergerak terlalu perlahan,” katanya.
Menurut NHC, kelajuan angin maksimum setakat pagi Sabtu mencecah 110 kilometer sejam dan dijangka meningkat ke tahap taufan besar menjelang Ahad.
Sementara itu, penduduk di Kingston dan kawasan pesisir mula melakukan persediaan menghadapi ancaman ribut yang dijangka melanda selama beberapa hari.
Nelayan Clive Davis yang berada di pesisir pantai Kingston berkata, pergerakan perlahan taufan itu lebih berisiko berbanding ribut sebelumnya.
“Pergerakan perlahan boleh sebabkan lebih banyak kerosakan. Beryl dulu datang laju dan pergi cepat. Tapi Melissa mungkin tiga hari. Ia akan jejaskan perniagaan, tapi kita tak boleh lawan alam,” katanya.
Di Pasar Coronation, peniaga mula menjual dan menyimpan stok barangan sebelum ribut tiba.
Peniaga herba, Diane Thomson berkata, pergerakan ribut yang perlahan menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk.
“Kalau ribut bergerak perlahan, itu yang paling menakutkan sebab tiada siapa tahu apa akan jadi,” katanya.
Pihak berkuasa kini memberi amaran kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik, komunikasi dan perhubungan jalan raya, selain menggesa penduduk di kawasan rendah berpindah ke pusat perlindungan lebih awal.
Melissa dijangka menjadi taufan besar kategori tiga apabila melintasi Jamaica sebelum bergerak ke arah Kepulauan Cayman awal minggu depan. -REUTERS