fb fb fb fb fb

Trump bertemu pemimpin Qatar, bincang usaha kekalkan keamanan Gaza

Pangkalan Udara Al Udeid yang menempatkan ibu pejabat tentera AS di Asia Barat turut menjadi lokasi strategik bagi operasi keselamatan Washington di rantau itu / AFP

AL UDEID, 26 Oktober -Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengadakan pertemuan dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Perdana Menteri, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, di Pangkalan Udara Al Udeid pada Sabtu.

Pertemuan singkat itu berlangsung semasa pesawat Air Force One singgah bagi mengisi bahan api ketika Trump dalam perjalanan ke Asia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan itu, Trump memuji peranan Qatar sebagai sekutu penting AS dalam proses keamanan di Asia Barat, khususnya dalam mengekalkan gencatan senjata di Gaza.

“Kedua-dua pemimpin Qatar memainkan peranan penting dalam proses damai di Asia Barat.

Sheikh Mohammed adalah rakan baik saya, bukan hanya untuk AS, tetapi untuk dunia,” katanya.

Qatar merupakan antara pengantara utama dalam perjanjian damai Gaza, bersama Mesir dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Negara itu juga membantu menyalurkan bantuan kemanusiaan dan dana kepada rakyat Palestin di Gaza.

Sejak awal tahun ini, Doha menjadi tuan rumah rundingan tertutup antara wakil Hamas dan AS bagi memastikan gencatan senjata terus dipatuhi. -AFP

FARIS IZZAT SHAHARUDIN