fb fb fb fb fb

Ribuan penduduk Valencia bantah pengurusan tragedi banjir

Keadaan di bandar Valencia semasa ribuan penduduk mengadakan demonstrasi / REUTERS

VALENCIA, 26 Oktober -Ribuan penduduk mengadakan demonstrasi di bandar Valencia, bagi membantah cara kerajaan wilayah itu menguruskan tragedi banjir besar yang mengorbankan hampir 240 nyawa tahun lalu.

Perhimpunan itu berlangsung menjelang ulang tahun pertama banjir terburuk dalam sejarah Sepanyol yang berlaku pada 29 Oktober 2024, apabila hujan lebat melanda kawasan timur negara itu.

Peserta perarakan membawa sepanduk menuntut Presiden Wilayah Valencia, Carlos Mazón, meletakkan jawatan dan bertanggungjawab atas kelewatan tindak balas ketika bencana berlaku.

Seorang ibu mangsa, Maria Teresa Romero Alarcón berkata, beliau kehilangan tiga ahli keluarga yang masih muda dan menuntut keadilan segera.

“Saya hanya mahu keadilan ditegakkan. Mereka yang bersalah mesti bertanggungjawab. Saya kehilangan tiga insan tersayang dan setiap hari ia semakin menyakitkan,” katanya.

Sementara itu, Cristina Guzman Trabero, 71 tahun, yang terselamat dalam tragedi itu memberitahu, kehilangan nyawa jauh lebih pilu berbanding kemusnahan harta benda.

“Kami di sini bukan untuk pampasan, tetapi untuk keadilan. Kehilangan ini sepatutnya boleh dielakkan,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Pilar Marqués, turut menggesa Mazón dan barisan pentadbirannya meletakkan jawatan atas kegagalan menangani bencana tersebut.

“Beliau tidak bertindak ketika diperlukan. Kami mahu mereka bertanggungjawab, malah jika perlu, dihadapkan ke muka pengadilan,” tegasnya.

Menurut pakar meteorologi, hujan lebat yang melanda pada 29 Oktober tahun lalu bersamaan jumlah taburan hujan setahun.

Air naik dengan cepat, menenggelamkan kenderaan, tempat letak kereta bawah tanah dan kediaman.

Tragedi itu bukan sahaja dianggap sebagai banjir paling dahsyat di Sepanyol, tetapi juga bencana banjir terburuk di Eropah sejak 1967, apabila lebih 500 orang terkorban di Portugal. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN