fb fb fb fb fb

Trump tolak pertemuan dengan PM Kanada di Kuala Lumpur

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika ditemui wartawan di dalam pesawat Air Force One, menjelang lawatan lima hari ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan / REUTERS

KUALA LUMPUR, 25 Oktober -Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini.

Trump berkata demikian ketika ditemui wartawan di dalam pesawat Air Force One, menjelang lawatan lima hari ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan.

Tindakan itu dibuat susulan iklan antitarif yang diterbitkan oleh kerajaan wilayah Ontario, Kanada, menggunakan rakaman ucapan bekas Presiden Ronald Reagan yang menggambarkan tarif sebagai punca perang perdagangan.

Trump mendakwa kenyataan dalam iklan tersebut telah dimanipulasi dan bersifat palsu.

“Kanada menipu. Mereka cipta kenyataan palsu oleh Presiden Reagan. Reagan sebenarnya menyokong tarif apabila perlu, khususnya untuk keselamatan negara. Tapi mereka putar belit kerana mereka terjejas akibat tarif, sedangkan kami sedang mendapat manfaat.

Mereka gunakan tarif terhadap kami ketika presiden lain mentadbir dan mereka banyak meraih keuntungan. Sekarang, kami ambil balik semuanya. Bila mereka siarkan iklan palsu itu, Yayasan Reagan marah besar sebab mesejnya bertentangan sepenuhnya dengan pendirian sebenar beliau,” tegas Trump.

Sebelum itu, Mark Carney menyatakan kesediaan Kanada untuk menyambung semula rundingan perdagangan dengan Washington, sehari selepas Trump membatalkan perbincangan tersebut.

Dalam kenyataan berasingan, Premier Ontario, Doug Ford memaklumkan, kerajaan wilayah itu akan menangguhkan kempen iklan tersebut bermula Isnin depan, bagi memberi laluan rundingan diteruskan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan iklan itu masih akan disiarkan sepanjang hujung minggu, bertepatan dengan perlawanan Toronto Blue Jays dalam dua aksi awal Siri Dunia.

Sementara itu, Trump turut memaklumkan beliau bersedia mempertimbangkan pengurangan tarif terhadap Brazil sekiranya keadaan sesuai.

Beliau tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, yang turut menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Lula sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membincangkan pelbagai isu termasuk tarif eksport Brazil dan ketegangan dengan Venezuela sekiranya pertemuan dua hala berlangsung. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN