fb fb fb fb fb

60 negara tandatangan Konvensyen PBB Menentang Jenayah Siber di Hanoi

Para perwakilan bergambar pada majlis menandatangani Konvensyen PBB menentang Jenayah Siber di Hanoi/ AFP

HANOI, 25 Oktober - Kira-kira 60 negara menandatangani Konvensyen PBB Menentang Jenayah Siber di ibu negara Vietnam pada Sabtu, iaitu perjanjian penting yang bertujuan membanteras jenayah siber yang dianggarkan menelan kos bertrilion dolar kepada ekonomi global setiap tahun.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata konvensyen itu merupakan instrumen undang-undang yang kukuh untuk memperkukuh pertahanan global terhadap jenayah siber.

“Konvensyen Jenayah Siber PBB ialah alat sah yang berkuasa bagi memperkuat pertahanan bersama kita menentang jenayah siber,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Perjanjian itu akan berkuat kuasa selepas diratifikasi oleh 40 negara, dan dijangka mempercepatkan kerjasama antarabangsa dalam memerangi jenayah siber.

Bagaimanapun, ia turut menerima kritikan daripada aktivis dan syarikat teknologi yang bimbang kemungkinan berlaku pelanggaran hak asasi manusia.

Menurut PBB, konvensyen tersebut merangkumi pelbagai bentuk jenayah siber, termasuk pancingan data (phishing), serangan ransomware, pemerdagangan dalam talian serta penyebaran ucapan berbaur kebencian.

Jenayah siber dianggarkan menyebabkan ekonomi global kerugian bertrilion dolar setiap tahun.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN