fb fb fb fb fb

Seorang maut dalam serangan Israel ke atas kenderaan di Beirut

Foto AFP

BEIRUT, 25 Oktober - Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan seorang maut dan seorang cedera dalam serangan udara Israel yang mengenai sebuah kenderaan di selatan negara itu, meskipun gencatan senjata dengan Hizbullah masih berkuat kuasa.

Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan serangan Israel terhadap sebuah kereta di Haruf, daerah Nabatiyeh telah menyebabkan seorang maut dan seorang cedera.

Serangan itu berlaku walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah masih berkuat kuasa sejak November lalu.

Tentera Israel setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut.

Sepanjang minggu lalu, tentera Israel meningkatkan serangan, termasuk dua serangan pada Jumaat yang membunuh dua individu yang didakwa merupakan anggota Hizbullah, termasuk seorang komander logistik.

Pada Khamis, beberapa serangan udara di selatan dan timur Lubnan turut menyebabkan empat kematian,
termasuk seorang wanita warga emas. Tentera Israel berkata, sasaran mereka termasuk depot senjata, kem latihan dan infrastruktur ketenteraan.

Mengikut perjanjian gencatan senjata itu, tentera Israel perlu berundur dari selatan Lubnan, manakala Hezbollah mesti berpindah ke utara Sungai Litani dan membongkar kemudahan ketenteraannya di selatan.

Di bawah tekanan Amerika Syarikat dan kebimbangan terhadap serangan Israel, kerajaan Lubnan mula mengambil langkah melucutkan senjata Hezbollah, namun tindakan itu ditentang kumpulan berkenaan dan sekutunya.

Walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, Israel mengekalkan tenteranya di lima kawasan sempadan strategik, menyebabkan ketegangan terus meningkat.-AFP

ROSLINA BINTI DIN