KAHERAH, 12 Oktober – Sidang Kemuncak Keamanan Gaza yang dijadual berlangsung di Sharm el-Sheikh pada Isnin, bakal dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.
Menurut Pejabat Presiden Mesir, perhimpunan yang diadakan di kawasan peranginan Laut Merah itu akan menghimpunkan lebih 20 ketua negara termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.
Ia bermatlamat utama bagi menamatkan peperangan di Gaza, memperkukuh usaha perdamaian dan kestabilan di Asia Barat, serta membuka era baharu keselamatan serantau.
Antara pemimpin yang dijadual hadir termasuk Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Sementara itu Kesatuan Eropah (EU) akan diwakili presidennya, Antonio Costa, yang menegaskan komitmen penuh EU untuk menyokong pelan keamanan tersebut.
Raja Jordan, Raja Abdullah II, turut dijangka hadir namun tiada pengesahan sama ada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, akan menyertai sidang kemuncak tersebut yang turut dihadiri Anggota Biro Politik Hamas, Hossam Badran.