fb fb fb fb fb

Anggota UNIFIL cedera terkena bom tangan Israel

Foto AFP

BEIRUT, 12 Oktober – Seorang anggota pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan cedera ringan selepas terkena letupan sebutir bom tangan yang dijatuhkan oleh dron Israel.

Insiden itu berlaku berhampiran Kfar Kela, hanya beberapa minggu selepas dua kejadian serupa direkodkan menjadikannya insiden ketiga dalam tempoh lebih sebulan.

Menerusi satu kenyataan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) anggota yang cedera kini sedang menerima rawatan perubatan.

UNIFIL, yang bekerjasama dengan tentera Lubnan bagi menyokong gencatan senjata November lalu antara Israel dan kumpulan Hezbollah, menyifatkan kejadian terbaharu itu sebagai pelanggaran serius terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB yang menjadi asas kepada gencatan senjata selepas konflik berdarah selama lebih setahun.

Dalam kenyataan lanjut, UNIFIL menggesa tentera Israel (IDF) menghentikan sebarang serangan berhampiran posisi pasukan pengaman yang bertugas.

Meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa, Israel terus melancarkan serangan udara berkala ke atas sasaran didakwa milik Hezbollah, dan mengekalkan kehadiran tenteranya di lima lokasi strategik di selatan Lubnan.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN