fb fb fb fb fb

Ketua pembangkang, Herminie menang pilihan raya Presiden Seychelles

Patrick Herminie bertemu penyokong selepas memenangi pilihan raya Presiden Seychelles/ REUTERS

VICTORIA, 12 Oktober – Ketua pembangkang, Patrick Herminie memenangi pilihan raya Presiden pusingan akhir Seychelles dengan meraih 52.7 peratus undi, menewaskan penyandang jawatan Wavel Ramkalawan dan mengembalikan Parti United Seychelles ke tampuk pemerintahan penuh selepas hampir satu dekad.

Kemenangan ini menyusul kejayaan parti tersebut meraih majoriti Parlimen bulan lalu, yang sebelum ini hilang sejak tahun 2015.

Ramkalawan yang memenangi pilihan raya pada 2020, merupakan Presiden pertama dari luar Parti United Seychelles sejak kemerdekaan negara itu daripada Britain pada 1976.

Dalam kempennya, beliau menekankan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 serta pengukuhan jaringan keselamatan sosial, namun pengundi memilih perubahan di bawah pimpinan Herminie.

Herminie mendakwa pentadbiran Ramkalawan gagal membendung rasuah dan berjanji membatalkan projek hotel kontroversi yang didakwa mengancam atol karang yang diiktiraf UNESCO.

Beliau turut berikrar menurunkan umur persaraan daripada 65 kepada 63 tahun serta melaksanakan syor Suruhanjaya Kebenaran dan Pendamaian berkaitan pelanggaran hak asasi manusia selepas kudeta 1977.

Seychelles, negara kepulauan terdiri daripada 115 pulau di Lautan Hindi dengan keluasan laut 1.2 juta kilometer persegi, merupakan negara terkaya di Afrika dari segi pendapatan per kapita.

Namun, ia berdepan cabaran besar termasuk perubahan iklim dan kadar penagihan heroin yang tinggi. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN