JAKARTA, 14 Jun - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengesahkan komitmen bersama negara mereka terhadap keamanan dan kestabilan global semasa panggilan telefon yang bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala.
Sekretariat Negara Indonesia dalam satu kenyataan berkata, panggilan telefon pada Khamis malam dan berlangsung selama hampir 15 minit itu diadakan atas inisiatif Trump.
“Sebagai pemimpin dua negara besar, mereka bersetuju untuk terus meningkatkan lagi kerjasama antara Indonesia dan Amerika Syarikat selain mengesahkan sokongan mereka terhadap usaha mengekalkan kestabilan dan keamanan global,” kata Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya.
Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin saling bertukar ucapan dan mengucapkan tahniah antara satu sama lain.
Presiden Prabowo mengucapkan tahniah kepada Presiden Trump atas pemilihan semula beliau dan Trump membalas ucapan itu dengan mengucapkan tahniah kepada Presiden Prabowo atas kejayaannya dipilih sebagai Presiden Indonesia kelapan, tambah Teddy.
Ini merupakan perbualan langsung kedua antara kedua-dua pemimpin selepas perbualan serupa pada November 2024.
Indonesia yang mempunyai kira-kira 280 juta penduduk adalah negara keempat paling ramai penduduk di dunia, ekonomi terbesar di Asia Tenggara dan anggota Kumpulan 20 (G20). - BERNAMA