(Presiden Jokowi dan Ibu Iriana menuju
Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) dr. Saiful Anwar, Kota Malang/FOTO FACEBOOK Pengawal Jokowi)
MALANG, 5 Oktober - Presiden Joko Widodo turun padang melihat keadaan Stadium Kanjuruhan lokasi insiden rempuhan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 131 orang, pada Sabtu lalu.
“Kita perlu buat penambahbaikan secara menyeluruh melibatkan pengurusan, penonton di stadium, dari segi masa dan keselamatan.
"Semuanya mesti diaudit sepenuhnya supaya tragedi ini tidak berulang,” katanya kepada pemberita di stadium Kanjuruhan di luar bandar Malang, hari ini.
Sebaik tiba di Kota Malang, Jokowi menuju terus ke Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) dr. Saiful Anwar untuk melawat ratusan mangsa yang cedera.
Jokowi melalui hantaran Facebooknya berkata beliau akan menyantuni keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tersebut.
(Keadaan selepas rusuhan bola sepak di Stadium Kanjuruhan di Malang/FOTO AFP)
Pada Sabtu lalu, berlakunya pergaduhan yang bermula apabila penyokong Arema FC menyerbu padang selepas pasukan mereka tewas 3-2 kepada pelawat yang juga seteru ketat, Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan.
Pergaduhan bermula selepas ribuan peminat Arema masuk ke dalam padang susulan kekalahan pasukan mereka.
Menurut laporan, kematian turut berpunca daripada tindakan pihak polis melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan situasi menjadi kelam-kabut.
Tragedi pada malam minggu lalu menyebabkan 131 terbunuh dan 323 lagi cedera yang dianggap bencana stadium sukan terburuk di dunia.
Liga Indonesia digantung selama seminggu susulan insiden berkenaan. - AFP