fb fb fb fb fb

10 penduduk Gaza terbunuh dalam serangan besar-besaran Israel

Foto Reuters

GAZA, 17 Mei - 10 penduduk Gaza terkorban dalam serangan Israel pada Sabtu, selepas rejim itu mengumumkan permulaan operasi berskala besar dalam usaha menumpaskan Hamas.

"10 mayat telah dibawa ke hospital di Gaza selepas serangan pada pagi Sabtu," menurut Jurucakap agensi pertahanan awam, Mahmud Bassal

Laporan mengenai kematian itu diterima selepas tentera Israel mengumumkan bahawa mereka telah "melancarkan serangan besar-besaran dan menggerakkan pasukan untuk menguasai kawasan-kawasan tertentu di Gaza".

Serangan dilancarkan ketika Israel berdepan tekanan antarabangsa supaya menamatkan sekatan bantuan yang dikenakan ke atas Gaza sejak awal Mac, selepas rundingan mengenai gencatan senjata gagal.

Pertubuhan bantuan telah memberi amaran bahawa sekatan itu telah menyebabkan kekurangan kritikal dalam segala keperluan asas, termasuk makanan, air bersih, bahan api dan ubat-ubatan.

Pengarah Hospital Indonesia di utara Semenanjung Gaza Marwan Sultan berkata, keadaan di hospital itu amat menyedihkan dan dasyat selepas kawasan sekitarnya diserang lagi pagi tadi menyebabkan siling runtuh dan retakan pada dinding".

"Bilik pembedahan dan unit rawatan rapi kini penuh dan kami tidak dapat menerima sebarang kes kritikal lagi," katanya.

Beliau turut menambah bahawa terdapat "kekurangan kritikal unit darah, ubat-ubatan, bekalan perubatan dan terapeutik serta peralatan pembedahan".

Sultan berkata para doktor terpaksa mendapatkan darah untuk pemindahan daripada pesakit lain malah daripada diri mereka sendiri "disebabkan mustahil untuk mendapatkan derma daripada orang awam kerana masalah kekurangan zat makanan". - AFP

TETITIA YUSOFF