fb fb fb fb fb

Agensi Meteorologi Jepun rancang guna AI pertingkat ketepatan ramalan cuaca

Foto fail/Reuters

TOKYO, 17 Mei - Agensi Meteorologi Jepun sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan kecerdasan buatan (AI) dalam ramalan cuaca bagi meningkatkan ketepatan melalui penggunaan pembelajaran mendalam, lapor agensi berita Kyodo yang memetik sumber yang rapat dengan perkara itu.

Persiapan sedang dijalankan, dengan pasukan baharu ditubuhkan pada April untuk menerajui pembangunan infrastruktur dan teknologi bagi menggabungkan ramalan AI berasaskan data cuaca lampau dengan model ramalan berangka yang sedang digunakan.

Sekiranya dilaksanakan, sistem AI itu akan menggunakan pembelajaran mendalam untuk menganalisis sejumlah besar data, mengenal pasti corak cuaca bagi menjana ramalan suhu dan hujan pada masa hadapan serta ramalan lain.

Kaedah berasaskan AI mungkin terbukti lebih tepat berbanding pendekatan ramalan semasa dalam beberapa aspek, seperti ramalan laluan taufan.

Agensi itu dijangka mengumumkan langkah tambahan bagi meningkatkan fungsi data menggunakan AI dan teknologi lain sekitar Jun.

Pada masa ini, ia menggunakan model ramalan cuaca berangka yang menggunakan data pemerhatian dan superkomputer untuk mensimulasikan keadaan atmosfera masa hadapan. Peramal berpengalaman kemudian menganalisis hasilnya dengan mengambil kira keadaan dunia sebenar untuk mengeluarkan laporan cuaca dan amaran bencana.

AI setakat ini telah digunakan untuk memperhalusi hasil simulasi, dan manusia akan terus memainkan peranan pengawasan serta mengeluarkan ramalan akhir walaupun ramalan AI diperkenalkan.

Selain ramalan cuaca, agensi itu turut meneroka penggunaan pembelajaran mendalam untuk memproses data pemerhatian daripada satelit cuaca Himawari-10, yang dijadualkan beroperasi pada tahun fiskal 2029. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF