RIYADH, 3 Januari – Kementerian Luar Arab Saudi menyeru semua fraksi di selatan Yaman supaya menghadiri satu sesi dialog di Riyadh, susulan serangan udara maut dan pengumuman mengejut usaha pengisytiharan kemerdekaan oleh kumpulan pemisah.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, kementerian itu menggesa penganjuran persidangan komprehensif di Riyadh bagi menghimpunkan semua fraksi selatan untuk membincangkan penyelesaian yang adil terhadap apa yang digambarkan sebagai isu selatan Yaman.
Arab Saudi memaklumkan bahawa jemputan rasmi untuk rundingan itu telah dikeluarkan oleh kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa.
Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak beberapa tahun lalu menyokong keterlibatan pelbagai puak dalam wilayah Yaman sebagai sebahagian daripada campur tangan mereka dalam perang saudara berpanjangan di negara jiran itu.
Bagaimanapun, salah satu fraksi tersebut iaitu Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong UAE kini berusaha mengisytiharkan kemerdekaan dan membentuk sebuah negara berasingan, langkah yang berpotensi memecahkan Yaman.
STC, yang telah merampas kawasan luas di selatan Yaman sejak beberapa minggu kebelakangan ini, mengumumkan rancangan proses peralihan selama dua tahun bagi menubuhkan sebuah negara baharu di selatan.
Situasi keselamatan terus meruncing apabila serangan udara oleh pakatan pimpinan Arab Saudi pada Jumaat mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang, menurut kenyataan pihak pemisah.
Pakatan ketenteraan yang disokong Arab Saudi ditubuhkan pada 2015 dengan matlamat menyingkirkan pemberontak Huthi dari utara Yaman.
Namun selepas hampir sedekad konflik berdarah, Huthi masih menguasai wilayah mereka. sementara fraksi-fraksi yang disokong Arab Saudi dan UAE kini bertempur sesama sendiri di selatan negara itu. - AFP
