fb fb fb fb fb

Gempa bumi bermagnitud 6.5 gegar Mexico, dua terkorban

Keadaan kerosakan di dalam sebuah rumah di komuniti San Marcos susulan gempa bumi bermagnitud 6.5 yang menggegarkan negeri Guerrero./AFP

MEXICO CITY, 3 Januari – Gempa bumi bermagnitud 6.5 menggegarkan ibu negara Mexico dan kawasan pelancongan di pesisir Pasifik awal pagi Jumaat.

Gegaran tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang serta menyebabkan kerosakan sederhana di sebuah bandar kecil berhampiran pusat gempa.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa itu berlaku sebelum pukul 8 pagi (Waktu tempatan) berhampiran Acapulco, sebuah pelabuhan utama dan destinasi peranginan popular.

Gegaran turut dirasai sejauh 400 kilometer ke utara di Mexico City, mencetuskan bunyi penggera amaran yang menyebabkan orang ramai bergegas keluar ke jalan raya untuk menyelamatkan diri, sekali gus mengganggu hujung minggu cuti.

Seorang lelaki berusia 60 tahun dilaporkan maut selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri dari apartmennya di tingkat dua di ibu negara, menurut pihak berkuasa tempatan.

Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, berkata 12 orang cedera, namun tiada laporan kerosakan besar di bandar terbesar negara itu.

Presiden Claudia Sheinbaum turut terpaksa mengosongkan Istana Presiden ketika sedang mengadakan sidang media.

Perkhidmatan Seismologi Kebangsaan Mexico memaklumkan pusat gempa terletak 14 kilometer ke barat daya San Marcos, di negeri Guerrero.

Walaupun Sheinbaum berkata tiada laporan segera mengenai kerosakan besar, keadaan di San Marcos menunjukkan kesan ketara.

Gabenor Guerrero, Evelyn Salgado, mengesahkan seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an maut selepas rumahnya runtuh menimpanya.

Datuk Bandar San Marcos, Misael Lorenzo Castillo, berkata kira-kira 50 rumah musnah, manakala hampir semua kediaman mengalami retakan struktur. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD