fb fb fb fb fb

9 maut, 4 cedera dalam serangan dron Rusia ke atas bas mini di Sumy

Foto Reuters

KIEV, 17 Mei - Sekurang-kurangnya sembilan penumpang bas mini terbunuh dan empat lagi cedera selepas serangan dron Rusia ke atas kenderaan tersebut.

Kejadian berlaku sehari selepas Moscow dan Kiev bersetuju untuk pertukaran tahanan besar-besaran dalam rundingan di Turkiye.

Ketika kejadian bas mini tersebut dalam perjalanan menuju ke Sumy dan diserang berhampiran bandar Bilopillya, kata pentadbiran tentera itu.

"Malangnya, akibat serangan oleh Rusia terhadap sebuah bas yang membawa orang awam, terdapat kematian," kata pentadbiran tentera di wilayah utara Sumy, Ukraine dalam satu hantaran di Telegram.

"Malangnya, jumlah korban telah meningkat kepada sembilan," tambahnya kemudian, bersama gambar sebuah bas mini bewarna biru yang musnah akibat letupan.

Ukraine dan Rusia telah mengadakan rundingan langsung pertama mereka dalam lebih tiga tahun tetapi gagal mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata.

Meskipun terdapat ancaman sekatan baharu terhadap Rusia daripada sekutu Kiev, pertempuran tetap berterusan. - AFP

TETITIA YUSOFF