fb fb fb fb fb

Liga Arab adakan mesyuarat di Baghdad bincang krisis serantau

Menteri Luar Iraq, Fuad Hussein bersama Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez. - Foto AFP

BAGHDAD, 17 Mei - Liga Arab akan mengadakan mesyuarat di Baghdad pada Sabtu bagi membincangkan isu Gaza dan krisis serantau lain, namun beberapa pemimpin utama dijangka tidak hadir.

Mesyuarat ini berlangsung sejurus selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke negara Teluk.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas, merupakan pemimpin Arab pertama tiba di Baghdad pada Jumaat. Namun, sumber diplomatik menyatakan kebanyakan negara Teluk hanya akan menghantar wakil pada peringkat menteri.

Isu perang di Gaza dijangka mendominasi agenda, terutama selepas Israel meluluskan rancangan untuk memperluas serangan dan menyebut tentang "penaklukan" wilayah tersebut.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, akan menghadiri sidang tersebut, manakala Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dijangka memberi ucapan sebagai tetamu jemputan.

Menteri Luar Iraq, Fuad Hussein, menyatakan bahawa sidang kemuncak itu akan menyokong keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kaherah bagi membantu pembinaan semula Gaza sebagai alternatif kepada cadangan Trump yang dikritik hebat.

Baghdad kali terakhir menjadi tuan rumah sidang kemuncak Liga Arab pada tahun 2012, di tengah-tengah ketegangan domestik dan permulaan perang di Syria. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI