fb fb fb fb fb

China yakin robot humanoid tidak akan gantikan manusia

Model Tiangong Ultra muncul juara dalam acara separuh maraton robot pertama. Foto REUTERS

BEIJING, 17 Mei - China yakin robot humanoid tidak akan menggantikan pekerja manusia dan menyebabkan pengangguran besar-besaran

Sebaliknya Timbalan Pengarah Beijing Economic-Technological Development Area, Liang Liang menegaskan bahawa ia mampu meningkatkan produktiviti dan membantu dalam tugas berbahaya.

"Kami percaya robot akan meningkatkan kecekapan dan menjalankan tugas yang manusia tidak sanggup lakukan, seperti meneroka angkasa lepas atau dasar lautan yang sukar diakses manusia," kata Liang.

Beliau menambah bahawa mesin boleh terus bekerja pada waktu malam ketika manusia berehat, menghasilkan produk yang lebih baik dan murah.

Beijing melihat teknologi ini sebagai penyelesaian kepada kekurangan tenaga kerja, terutamanya dalam penjagaan warga emas.

Liang turut menjelaskan bahawa acara separuh maraton robot pertama di dunia yang diadakan di Beijing bulan lepas bertujuan menunjukkan bagaimana robot humanoid akan menyokong manusia, bukan menggantikan mereka.

Dalam acara tersebut, manusia dan robot berlumba di trek berasingan, simbolik kepada kerjasama di masa hadapan.

Model Tiangong Ultra muncul juara dalam acara tersebut dengan kelajuan maksimum 12 km/j.

Industri ini berkembang pesat, dengan 31 syarikat di China memperkenalkan 36 model humanoid pada 2024, berbanding hanya lapan oleh syarikat Amerika Syarikat, menurut laporan Morgan Stanley. - REUTERS

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI