SEOUL, 17 Mei- Bekas Presiden Korea Selatan yang digulingkan, Yoon Suk Yeol mengumumkan untuk keluar parti yang disertainya, Parti People Power (PPP), hari ini.
Kenyataan itu dimaklumkan menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya pada Sabtu.
Pengumuman tersebut dibuat ketika calon presiden PPP, Kim Moon-soo, ketinggalan jauh di belakang pencabarnya dari Parti Demokratik liberal, Lee Jae-myung, menjelang pilihan raya tergempar pada 3 Jun.
Berdasarkan tinjauan Gallup Korea yang diterbitkan pada Jumaat, hanya sekitar 29 peratus pengundi menyokong Kim, berbanding 51 peratus memihak kepada Lee.
Yoon digulingkan melalui proses pemecatan selepas mencetuskan kontroversi dengan pengisytiharan undang-undang tentera secara mengejut pada Disember lalu.
Beliau menerima tekanan daripada ahli-ahli parti agar keluar daripada PPP bagi menarik sokongan pengundi sederhana yang tidak bersetuju dengan tindakannya sebelum ini.
Kedua-dua calon, Lee dan Kim, dijadual berdebat secara langsung buat kali pertama pada Ahad, 18 Mei.- REUTERS