fb fb fb fb fb

Grok beri respons tidak berkaitan, xAI milik Musk salahkan 'Pengubahsuaian Tidak Sah'

Foto AFP

WASHINGTON, 17 Mei - Syarikat kecerdasan buatan (AI) milik Elon Musk, xAI, menyalahkan "pengubahsuaian tidak sah" kerana menyebabkan chatbot Grok mengeluarkan respons berunsur propaganda sayap kanan mengenai penindasan terhadap warga kulit putih di Afrika Selatan.

Grok didakwa memberi respons tidak berkaitan mengenai isu tersebut walaupun soalan asal pengguna tidak menyentuh perkara itu.

xAI menjelaskan bahawa tindakan itu melanggar dasar dalaman syarikat dan memaklumkan bahawa langkah baharu akan diambil, termasuk memantau Grok secara 24/7 dan menjadikan arahan sistemnya lebih telus.

Grok kemudiannya memadam hantaran kontroversi itu selepas menerima kecaman di platform X.

Insiden ini mencetuskan perdebatan tentang cabaran mengawal chatbot AI dalam persekitaran digital yang sarat dengan maklumat salah.

Laporan juga menyatakan bahawa Grok sebelum ini terlibat dalam kontroversi berkaitan imej tidak senonoh dan maklumat palsu pilihan raya, termasuk menyebarkan maklumat salah berkaitan Rusia dan pilihan raya Amerika Syarikat (AS).

Beberapa negeri di AS telah menggesa Musk untuk memperbaiki Grok, dan isu ini menguatkan lagi seruan supaya pengawalan lebih ketat dikenakan ke atas teknologi AI yang semakin berpengaruh. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI