ISTANBUL, 17 Mei - Mesyuarat peringkat Ketua Negara membabitkan Presiden Ukraine dan Presiden Rusia perlu dijalankan sebagai lanjutan kepada rundingan sulung di Istanbul.
Menteri Pertahanan Ukraine, Rustem Umerov memaklumkan, fokus tertumpu kepada usaha menamatkan perang yang tercetus sejak lebih tiga tahun lalu.
Ini memandangkan, rundingan di ibu negara Turkiye semalam, berakhir tanpa kemajuan terhadap gencatan senjata dan mengakhiri perang.
Hasil mesyuarat menyaksikan kedua-dua pihak hanya bersetuju untuk pertukaran 1,000 tawanan perang.
"Presiden kami menjangkakan mesyuarat peringkat tertinggi berlangsung di Istanbul. Saya berpandangan, langkah selanjutnya adalah mengadakan mesyuarat peringkat Ketua Negara," katanya pada sidang media khas selepas rundingan bersama delegasi Rusia, di sini.
Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar Ukraine, Heorhii Tykhyi menambah, mesyuarat antara Presiden kedua-dua negara perlu dilakukan kerana delegasi Rusia pada rundingan pertama memiliki kuasa terhad untuk membuat keputusan.
Jelasnya, hanya Presiden sahaja yang dapat melakukannya terutama berhubung pelaksanaan gencatan senjata.