NEW DELHI, 5 Oktober - Sekurang-kurangnya 25 orang maut selepas bas yang membawa tetamu yang ingin meraikan perkahwinan terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung di Uttarakhand, utara India, hari ini.
Menurut Pegawai Tinggi Polis negeri, Ashok Kumar, ketika kejadian bas yang membawa 45 tetamu itu sedang melalui lebuh raya di kawasan pergunungan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 500 meter.
"Daripada jumlah itu, 20 berjaya diselamatkan," kata Ashok Kumar.
Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata kerajaan akan memberi bantuan kepada semua mangsa yang terselamat.
"Saya turut berduka bersama semua keluarga mangsa ketika tempoh sedih ini," katanya di Twitter hari ini.
Uttarakhand yang sering menjadi lokasi nahas kemalangan jalan raya sering dikunjungi orang ramai yang ingin melawat tapak peninggalan agama.
Jun lalu, lebih 20 individu turut maut apabila bas dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung ketika perjalanan ke kuil Hindu Yamuna di ibu negeri Dehradun.
Menurut laporan Bank Dunia, India menyumbang sebanyak 11 peratus jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di dunia.
Laporan sama turut menganggarkan kira-kira 150,000 kematian akibat kemalangan kereta di India berlaku setiap tahun, atau seorang bagi setiap empat minit. -AFP