fb fb fb fb fb

Seminar Antarabangsa OPEC Julai ini

Foto Reuters

VIENNA, 4 Julai - Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan mengadakan Seminar Antarabangsa OPEC kesembilan dari 9 hingga 10 Julai, menghimpunkan pemimpin tenaga global ke Vienna untuk membincangkan isu utama industri dan mengukuhkan kerjasama, lapor Xinhua.

Bertemakan "Charting Pathways Together: The Future of Global Energy", acara dua hari itu akan menampilkan pameran, sesi menteri dan meja bulat peringkat tinggi dengan pelbagai pemimpin industri dijangka mengambil bahagian.

Menurut laman sesawang rasmi seminar itu, antara penceramah yang disahkan termasuk Presiden Persidangan OPEC 2025 Mohsen Paknejad; Timbalan Perdana Menteri Iraq bagi Hal Ehwal Tenaga merangkap Menteri Minyak Hayan Abdulghani Abdulzahra Alsawad dan Menteri Minyak dan Gas Libya Khalifa Rajab Abdulsadek.

Menurut buletin OPEC, antara topik dalam agenda termasuk kestabilan pasaran, keselamatan tenaga, pelaburan, teknologi dan inovasi, perubahan iklim, peralihan tenaga dan kemiskinan tenaga.

“Seminar Antarabangsa OPEC telah mendapat pengiktirafan global berikutan rekod penganjuran yang cemerlang dari segi kualiti penceramah dan peserta serta kualiti perbincangan yang menangani isu paling mendesak berkaitan industri tenaga,” kata Setiausaha Agung OPEC Haitham Al Ghais menjelang penganjuran acara penting itu.

Siri Seminar Antarabangsa OPEC bermula pada 2001.

Seminar Antarabangsa OPEC kelapan yang diadakan pada 2023 mencatatkan penyertaan tertinggi dengan lebih 1,000 hadirin, termasuk 17 menteri dari negara anggota OPEC dan bukan OPEC, 18 CEO, 13 ketua organisasi antarabangsa dan 89 wartawan.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH