fb fb fb fb fb

Rundingan langsung AS-Iran di Oslo minggu depan

AS-Iran rancang memulakan semula rundingan nuklear

HOUSTON, 4 Julai - Utusan White House Steve Witkoff merancang untuk bertemu Menteri Luar Iran Abbas Araghchi di Oslo minggu depan bagi memulakan semula rundingan nuklear, lapor Xinhua pada Khamis memetik laporan media Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, kedua-dua negara belum mengesahkan pertemuan itu secara terbuka dan tarikh akhir bagi rundingan berkenaan masih belum ditetapkan, menurut laporan berkenaan. “Kami tiada pengumuman perjalanan pada masa ini,” kata seorang pegawai White House kepada media dalam talian Axios.

Jika menjadi kenyataan, ia akan menjadi rundingan langsung pertama sejak Israel dan AS melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran pada Jun lepas.

Dalam satu temu bual bersama CBS News di Tehran yang disiarkan pada Isnin, Araghchi berkata negaranya masih memerlukan lebih masa untuk memutuskan mengenai penyambungan semula rundingan dengan Amerika Syarikat.

Pada Rabu, Pentagon berkata serangan AS bulan lepas ke atas tiga kemudahan nuklear utama Iran telah menjejaskan program nuklear Tehran “antara satu hingga dua tahun.”

Pada hari sama, Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengeluarkan arahan melaksanakan undang-undang untuk menggantung kerjasama negara itu dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sehingga kedaulatan, integriti wilayah serta keselamatan kemudahan dan saintis nuklear Iran dijamin sepenuhnya.

Sebagai reaksi, jurucakap Jabatan Negara AS Tammy Bruce pada Rabu berkata penggantungan kerjasama Iran dengan IAEA adalah “tidak boleh diterima.”

Bagaimanapun, Araghchi pada Khamis menulis di X bahawa Iran tetap komited kepada Perjanjian Mengenai Pengawalan Senjata Nuklear dan Perjanjian Perlindungan di bawahnya.

“Di bawah undang-undang baharu oleh Majlis (Parlimen), yang dicetuskan oleh serangan tidak sah ke atas kemudahan nuklear kami oleh Israel dan AS, kerjasama kami dengan IAEA akan disalurkan melalui Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran atas sebab keselamatan yang jelas,” tulisnya.

Pada 22 Jun, pasukan tentera AS mengebom tiga kemudahan nuklear Iran iaitu Natanz, Fordow dan Isfahan.

Gencatan senjata antara Iran dan Israel telah dicapai pada 24 Jun selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas kemudahan ketenteraan dan nuklear Iran pada 13 Jun, sebelum Iran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel.

Pusingan keenam rundingan nuklear AS-Iran yang diketuai Witkoff dan Araghchi, yang dijadualkan di Oman pada 15 Jun, telah dibatalkan susulan serangan Israel.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH