(Orang ramai memberi penghormatan terakhir mangsa tragedi
rempuhan festival Halloween di Plaza Seoul City, Seoul, Korea Selatan/FOTO REUTERS)
SEOUL, 2 November - Pihak polis perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh selepas mereka menerima panggilan kecemasan beberapa jam sebelum insiden rempuhan Halloween di Itaewon yang meragut lebih 150 nyawa kata Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-Soo.
"Polis perlu memberikan penjelasan yang jelas serta telus kepada orang ramai," katanya pada mesyuarat pasukan petugas mengenai insiden itu di televisyen.
Pada malam Sabtu lalu, rempuhan Halloween di Itaewon telah meragut 156 nyawa, mencederakan 151 orang dengan 29 lagi berada dalam keadaan serius.
Dalam insiden itu juga seramai 26 warga asing dilaporkan maut.
Lima dari iran, empat mangsa masing-masing dari China dan Rusia, dua dari Amerika Syarikat, dua dari Jepun serta seorang dari Perancis, Australia, Norway, Austria, Vietnam, Thailand, Kazakhstan, Uzbekistan dan Sri Lanka.
(Penghormatan bunga untuk mangsa tragedi Itaewon/FOTO REUTERS)
Kejadian berlaku di lorong sempit menuruni bukit, pada malam Sabtu, selepas puluhan ribu orang berkunjung ke kawasan itu sempena Halloween.
Saksi mata berkata orang ramai saling menolak dan merempuh mereka yang terperangkap di lorong tersebut.
Transkrip panggilan kecemasan yang dikeluarkan oleh pihak polis pada Selasa menunjukkan amaran pertama kemungkinan rempuhan maut kira-kira empat jam sebelum bencana itu.
Menurut transkrip, polis turut menerima 10 panggilan lain yang sama sebelum kekecohan itu diketahui membawa maut - REUTERS