fb fb fb fb fb

Tragedi Itaewon: Pasukan penyiasat khas polis serbu Agensi Polis Metropolitan Seoul, Balai Polis Yongsan dan enam pejabat lain

(Anggota polis membuat kawalan di lokasi tragedi rempuhan Itaewon/ REUTERS) 

SEOUL, 2 November - Pasukan penyiasat khas polis menyerbu Agensi Polis Metropolitan Seoul, Balai Polis Yongsan dan enam pejabat lain pada Rabu .

Ia sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas kegagalan polis bertindak dengan sewajarnya dalam tragedi rempuhan Itaewon.

Menurut laporan media tempatan, serbuan dibuat sehari selepas Agensi Polis Negara mengakui menerima 11 panggilan kecemasan mengenai kesesakan di Itaewon empat jam sebelum rempuhan maut, namun tiada tindakan diambil.

Lapan lokasi yang diserbu juga termasuk pejabat Yongsan Ward, Ibu Pejabat Bomba dan Bencana Metropolitan Seoul, balai bomba Yongsan dan ibu pejabat Seoul Metro.

Ketua Balai Polis Yongsan juga digantung tugas dan diletakkan dalam senarai untuk tindakan tatatertib.

Tumpuan siasatan adalah sama ada pegawai polis yang menerima laporan itu menjalankan kewajipannya dan sama ada komander polis yang bertugas bertindak dengan betul.

Pasukan penyiasat juga dijangka melihat sama ada Balai Polis Yongsan telah mengambil tindakan yang betul untuk mengawal ketenteraman awam atau mempunyai perancangan pengurusan keselamatan yang mencukupi sebelum perhimpunan besar-besaran itu berlangsung.

Hanya kira-kira 200 anggota polis dilaporkan dihantar ke Itaewon pada masa itu, terutama untuk misi membanteras seks, dadah dan kecurian.

Siasatan itu juga dijangka meneliti dakwaan bahawa Agensi Polis Metropolitan Seoul menolak permintaan Balai Polis Yongsan untuk menambah anggota pasukan polis rusuhan.


(Anggota polis membuat kawalan di lokasi tragedi rempuhan Itaewon/ REUTERS) 

Terdahulu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol menzahirkan kemarahan setelah mendapat tahu polis tidak mengambil tindakan walaupun selepas menerima 11 panggilan mengenai tahap bahaya bilangan orang ramai pada malam tragedi Itaewon.

Presiden Yoon mengarahkan situasi itu disiasat dengan teliti, dan pihak yang bertanggungjawab, ditangani dengan tegas mengikut undang-undang dan prinsip.

Agensi Polis Nasional (NPA) pada Selasa mendedahkan transkrip 11 panggilan kecemasan yang diterima sekitar empat jam sebelum tragedi berlaku.

Kebanyakan panggilan yang diterima, meminta tolong kerana takut "dihimpit hingga mati".

Ketua NPA, Yoon Hee-keun meminta maaf atas tindak balas polis yang 'tidak mencukupi' dan berjanji untuk menjalankan pemeriksaan dalaman.

Pihak polis akan membentuk jawatankuasa khas untuk menyiasat kemalangan Itaewon yang terdiri daripada parti pemerintah dan pembangkang serta pakar sejurus selepas tempoh berkabung negara berakhir.

Tempoh berkabung ditetapkan sehingga Sabtu ini.

Lebih 150 orang terbunuh dalam rempuhan maut semasa sambutan Halloween di daerah Itaewon, Seoul pada Sabtu lepas. -AFP

Media Baharu