(Anggota penyelamat mencari mangsa selepas jambatan merentasi sungai Machchhu runtuh/AFP)
MORBI, 3 November- Polis India telah membuka kertas siasatan terhadap Syarikat Oreva yang mengubah suai jambatan gantung berusia 150 tahun itu runtuh di daerah Morbi, Gujerat India pada Ahad.
Jurucakap polis berkata, pasukan penyiasat khas telah memulakan siasatan ke atas kejadian tersebut.
Berdasarkan siasatan awal polis, kemalangan berpunca daripada pembinaan yang rosak atau berkaitan penyelenggaraan selain kecuaian pengendali jambatan.
Setakat Selasa, 196 orang berjaya diselamatkan dan kesemua 10 yang cedera berada dalam keadaan stabil.
Perdana Menteri Narendra Modi tiba di tapak itu pada Selasa untuk memeriksa jambatan runtuh dan melawat mangsa cedera di hospital.
(Perarakan pengebumian membawa keranda mangsa yang maut selepas jambatan runtuh/AFP)
Setakat ini pihak polis telah menahan sembilan orang yang mempunyai kaitan dengan kontrak menguruskan jambatan tersebut atas tuduhan membunuh.
Pihak pendakwa memberitahu mahkamah tempatan pada Selasa bahawa "kontraktor yang menyelia kerja pembaikan itu tidak mempunyai kelayakan yang cukup."
Memetik laporan forensik, pihak pendakwaan berkata semasa lantai jambatan itu dibaiki, kabelnya tidak diganti menyebabkan ia tidak dapat menanggung beban lantai baharu sehingga menyebabkan kabel terputus.
Seorang saksi mendakwa syarikat itu membuka semula jambatan itu tanpa terlebih dahulu mendapatkan "sijil kelulusan."
Bagaimanapun, pegawai polis sedang menyiasat dakwaan tersebut.
Bendera dikibarkan separuh tiang di Gujerat pada Rabu dan semua acara rasmi serta hiburan dibatalkan.
Berita berkaitan :
Insiden jambatan runtuh: Penunjuk perasaan desak Ketua Menteri Gujerat letak jawatan