fb fb fb fb fb

Gunung Lewotobi Laki-Laki meletus, abu setinggi 18 km ke udara

Foto REUTERS

JAKARTA, 7 Julai -Gunung Lewotobi Laki-Laki meletus pada Isnin dan memuntahkan abu setinggi 18 kilometer ke udara.

Menurut kenyataan agensi vulkanologi Indonesia, letusan berlaku pada pukul 11.05 pagi waktu tempatan.

"Letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki berlaku, dengan ketinggian abu mencapai kira-kira 18,000 meter dari puncak," kata agensi itu.

Amaran turut dikeluarkan berhubung kemungkinan banjir lahar, aliran lumpur atau serpihan gunung berapi jika hujan lebat berlaku, khususnya bagi penduduk yang tinggal berhampiran sungai.

Tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Ketua Agensi Geologi, Muhammad Wafid berkata, tahap aktiviti gunung berapi itu kini sangat tinggi dengan letusan eksplosif dan gegaran berterusan.

Beliau turut menggesa penduduk supaya menjauhkan diri sekurang-kurangnya enam kilometer dari kawasan gunung tersebut dan memakai pelitup muka untuk mengelak terhidu abu. - AFP

TETITIA YUSOFF