fb fb fb fb fb

Hampir 1,600 gempa gegar selatan Jepun

Foto REUTERS

TOKYO, 7 Julai-Puluhan penduduk di pulau-pulau terpencil selatan Jepun terpaksa berpindah selepas mengalami 1,600 gegaran gempa bumi berterusan sejak tiga minggu lalu, menurut kenyataan Datuk Bandar tempatan pada Isnin.

Pulau Akuseki, yang paling terjejas, tidak mengalami kerosakan fizikal besar meskipun dilanda gempa berukuran 5.1 magnitud pada malam sebelumnya.

Namun, rentetan gegaran sejak 21 Jun telah menjejaskan kesihatan mental penduduk, dengan ramai mengalami gangguan tidur dan tekanan emosi, kata Datuk Bandar Genichiro Kubo dalam sidang media.

“Kami tidak dapat meramalkan apa yang mungkin berlaku. Kami juga tidak tahu bila semua ini akan berakhir,” katanya yang berpangkalan di pulau berdekatan.

Daripada 89 penduduk di Pulau Akuseki, 44 orang telah dipindahkan ke pusat wilayah Kagoshima menjelang Ahad, manakala 15 lagi dari pulau berhampiran turut berpindah keluar.

Kawasan pentadbiran itu terdiri daripada tujuh pulau berpenghuni dan lima tidak berpenghuni, yang terletak kira-kira 11 jam perjalanan feri dari Kagoshima, di barat daya Jepun.

Aktiviti seismik luar biasa, dipercayai berpunca dari gunung berapi dasar laut.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, fenomena ini dikenali sebagai "swarm earthquake", iaitu siri gempa kecil yang kerap berlaku dalam tempoh singkat.

Setakat awal pagi Isnin, sebanyak 1,582 gegaran direkodkan sejak 21 Jun.

Pakar seismologi percaya punca gegaran itu mungkin disebabkan oleh aktiviti gunung berapi bawah laut dan aliran magma, namun tidak dapat dipastikan bila aktiviti tersebut akan berhenti.

Situasi berkenaan mengingatkan kepada kejadian serupa pada September 2023, apabila kawasan sama mencatatkan 346 gegaran dalam masa singkat.

Jepun terletak di persimpangan empat plat tektonik utama, menjadikannya antara negara paling aktif seismik di dunia.

Setiap tahun, Jepun mengalami sekitar 1,500 gegaran, menyumbang kira-kira 18 peratus daripada jumlah gempa bumi dunia.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD