fb fb fb fb fb

Tragedi bumbung kelab malam runtuh: Kerajaan Dominica keluarkan laporan insiden

Seorang wanita memberi penghormatan untuk mangsa runtuhan bumbung kelab malam Jet Set, di Santo Domingo, Republik Dominica / Foto REUTERS

SANTO DOMINGO, 12 April – Kerajaan Republik Dominica telah mengeluarkan satu laporan pada Jumaat berhubung insiden bumbung runtuh di sebuah kelab malam, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 221 nyawa.

Laporan tersebut bagaimanapun tidak menjelaskan punca sebenar tragedi berkenaan, sementara satu pasukan pakar tempatan dan antarabangsa dijangka meneruskan siasatan terhadap kegagalan struktur bangunan tersebut.

Insiden berlaku sejurus selepas tengah malam Selasa lalu di kelab malam Jet Set semasa konsert meriah oleh penyanyi merengue terkenal, Rubby Perez, yang turut disahkan antara mangsa yang terkorban.

Lebih 4,500 anggota penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan bekerja selama hampir 59 jam untuk mencari mangsa yang masih hidup, mengeluarkan mayat serta memberi bantuan kepada keluarga mangsa.

Seramai 189 orang telah berjaya diselamatkan dari runtuhan, manakala 17 lagi masih dirawat di hospital, menurut perkhidmatan kesihatan kebangsaan.

Pusat Operasi Kecemasan (COE) mengesahkan bahawa kelab malam tersebut berada pada kapasiti penuh ketika kejadian, namun jumlah sebenar pengunjung dan punca runtuhan masih dalam siasatan.

Laporan media tempatan dan laman jualan tiket menunjukkan bahawa kelab itu mampu memuatkan antara 700 hingga 1,000 orang.

Sementara keluarga mangsa masih meratapi kehilangan orang tersayang, Institut Perubatan Forensik Kebangsaan masih giat menjalankan proses pengecaman mangsa dan pemulangan jenazah kepada waris.

"Inilah tugas paling sukar sepanjang 20 tahun saya mengetuai COE," kata Ketua Pusat Operasi Kecemasan, Juan Manuel Mendez pada Khamis.

Presiden Luis Abinader dijadualkan menghadiri misa memperingati mangsa di Pusat Sukan Polideportivo De Haina pada Ahad ini, iaitu hari terakhir tempoh berkabung negara.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD