fb fb fb fb fb

Angin kencang landa Beijing, ratusan penerbangan dibatalkan

Penumpang dilihat menunggu di Lapangan Terbang Yiwu yang terletak di wilayah timur Zhejiang, China pada awal pagi 12 April 2025, apabila puluhan penerbangan dibatalkan berikutan ramalan angin kencang melampau di beberapa bahagian negara sepanjang hujung minggu. / Foto AFP

BEIJING, 12 April – Angin kencang melanda Beijing dan beberapa bahagian utara China pada Sabtu.

Insiden berkenaan menyebabkan ratusan penerbangan dibatalkan, selain beberapa kawasan tarikan pelancongan ditutup.

Insiden turut menyebabkan beberapa laluan kereta api digantung, menurut media rasmi negara itu.

Jabatan Meteorologi China (CMA) memaklumkan bahawa angin kencang itu berpunca daripada sistem pusaran sejuk yang terbentuk di Mongolia dan bergerak ke arah timur serta selatan, melintasi utara China bermula dari Jumaat hingga hujung minggu.

“Tiupan angin paling kuat dijangka berlaku pada waktu siang 12 April, dengan kelajuan angin di beberapa stesen pemerhatian menghampiri atau bahkan melepasi rekod sejarah bagi tempoh sama sejak 1951,” menurut kenyataan CMA.

Beijing telah mengeluarkan amaran jingga iaitu tahap kedua tertinggi bagi angin kencang, pertama kali dalam tempoh sedekad.

Sehingga pagi Sabtu, sebanyak 413 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing telah dibatalkan, lapor penyiar rasmi CCTV.

Perkhidmatan kereta api termasuk laluan ekspres ke lapangan terbang dan beberapa laluan rel berkelajuan tinggi turut digantung, tambah CCTV.

Beberapa tarikan pelancongan utama seperti Istana Musim Panas, Kuil Syurga, Zoo Beijing, dan taman tema Universal Studios juga ditutup buat sementara waktu pada hari Sabtu.

CCTV juga melaporkan hampir 300 pokok tumbang di ibu kota China dan 19 kenderaan rosak akibat angin kencang, namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

China merupakan penyumbang terbesar gas rumah hijau yang didakwa saintis sebagai punca perubahan iklim serta peningkatan kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan dahsyat.

Tahun lalu, puluhan orang maut dan ribuan dipindahkan akibat ribut yang membawa banjir teruk di seluruh negara. Pada Mei, sebuah lebuh raya di selatan China runtuh selepas hujan berterusan selama beberapa hari, mengorbankan 48 orang.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD