NEW YORK, 12 April- Tragedi helikopter terhempas ke dalam Sungai Hudson yang mengorbankan enam nyawa semalam melibatkan sebuah keluarga dari Sepanyol yang sedang meraikan ulang tahun kelahiran ibu mereka, menurut pihak berkuasa tempatan.
Jurucakap bandar Jersey City, Datuk Bandar Steven Fulop, memaklumkan keluarga berkenaan terdiri daripada seorang eksekutif kanan perniagaan, isterinya dan tiga anak mereka menaiki penerbangan pelancongan helikopter pada Khamis sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-40 si ibu.
"Ketiga-tiga anak mereka berumur 11 tahun dan ke bawah," katanya dalam satu sidang media.
Kesemua penumpang termasuk juruterbang maut apabila helikopter jenis pelancongan itu mengalami kerosakan teknikal dan terhempas ke dalam air sejuk Sungai Hudson, selepas kelihatan berkecai di udara.
Helikopter berkenaan dikendalikan oleh syarikat pelancongan tempatan dan menawarkan pakej dikenali sebagai “Ultimate Sightseeing Tour of New York City”.
Pihak berkuasa kini sedang mempercepatkan urusan pengeluaran mayat bagi membolehkan proses penghantaran pulang ke Sepanyol. Pasukan penyelam dari polis dan bomba masih giat mencari bahagian penting helikopter yang belum ditemui, termasuk bilah utama rotor.
Antara kemungkinan punca nahas yang sedang disiasat ialah perlanggaran dengan dron, serangan burung atau kegagalan mekanikal.
Insiden ini kembali mengundang perhatian terhadap tahap keselamatan penerbangan di AS, lebih-lebih lagi selepas beberapa nahas besar kebelakangan ini – termasuk perlanggaran antara helikopter tentera dan pesawat penumpang di Washington Januari lalu yang mengorbankan 67 nyawa.
Dalam kejadian berasingan, sebuah pesawat ringan dilaporkan terhempas sejurus berlepas dari lapangan terbang Boca Raton, Florida pagi tadi, dengan tiga maut dipercayai berpunca daripada isu mekanikal.
Menurut Presiden Borough Brooklyn, Mark Levine, sudah lebih 30 nahas helikopter berlaku di New York sejak tahun 1980, justeru menyeru agar kawal selia lebih ketat diperkenalkan.
Rakaman video yang tular menunjukkan kokpit helikopter tercabut sebelum menjunam ke dalam sungai.
Penganalisis penerbangan dan bekas juruterbang tentera, Jim Brauchle, menjelaskan, “Nampaknya bilah utama rotor terkena badan helikopter sendiri, menyebabkan ekor terputus dan mengakibatkan pesawat tidak dapat dikawal. Dua kemungkinan besar ialah kegagalan mekanikal atau manuver yang melampau.”
Datuk Bandar New York, Eric Adams menyifatkan insiden itu sebagai satu tragedi menyayat hati.-AFP