fb fb fb fb fb

Greenland lantik duta Artik pertama, sedia pimpin Majlis Artik

Sebuah bot pelancong melintasi bongkah ais di fjord Nuuk, Greenland. / Foto REUTERS

COPENHAGEN, 12 April – Greenland telah melantik duta Artik pertama pada Jumaat, sambil menyatakan komitmen untuk memajukan pembangunan ekonomi mampan bagi komuniti pribumi dan mempercepatkan peralihan tenaga hijau di kutub utara, ketika negara pulau itu bersiap-sedia untuk memegang peranan pengerusi Majlis Artik bagi tempoh dua tahun.

Pelantikan itu hadir di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di rantau Artik, termasuk cubaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk memperkukuh pengaruh ke atas Greenland, sebuah wilayah autonomi di bawah Denmark.

Wilayah Artik kaya dengan sumber asli seperti mineral dan bahan api fosil, yang berpotensi dieksploitasi dengan lebih mudah akibat pemanasan global. Bagi Amerika Syarikat, Artik juga penting untuk keselamatan negara, termasuk sebagai lokasi sistem amaran awal terhadap serangan nuklear.

Rusia, pula menganggap Artik sebagai kawasan berkepentingan strategik.

Majlis Artik, yang dianggotai oleh lapan negara Artik (Amerika Syarikat, Kanada, Norway, Finland, Sweden, Denmark, Iceland dan Rusia), tidak membincangkan isu ketenteraan tetapi berfungsi sebagai platform kerjasama dalam isu seperti pencemaran, pembangunan ekonomi dan operasi mencari dan menyelamat.

Penganalisis dari Institut Kajian Antarabangsa Denmark, Ulrik Pram Gad, berkata bahawa agenda Greenland ini adalah bertentangan sepenuhnya dengan pendekatan Presiden Trump.

β€œIni bertentangan dengan agenda Trump yang cuba mempengaruhi Greenland. Greenland pula membina negara kebajikan yang menghormati kesaksamaan dan kepelbagaian masyarakat pribumi, sambil mengutamakan peralihan hijau untuk melawan perubahan iklim,” ujarnya.

Trump sebelum ini menggalakkan 57,000 penduduk Greenland untuk memutuskan hubungan dengan Denmark dan menyertai Amerika Syarikat. Perdana Menteri baharu Greenland, Jens-Frederik Nielsen, memberitahu Reuters bahawa Greenland akan memperkukuh hubungan dengan Denmark sehingga mencapai kedaulatan penuh.

Kenneth Hoegh, ketua perwakilan diplomatik Greenland di Washington, dilantik sebagai duta Artik baharu, mewakili Kerajaan Denmark.

Pelantikan dibuat selepas berlaku pertikaian antara Denmark dan Greenland, menyaksikan Nuuk menuntut peranan lebih besar dalam hal ehwal luar negara.

Tahun lalu, Greenland membantah pelantikan seorang warga Denmark ke jawatan tersebut dan menegaskan bahawa jawatan itu sepatutnya dipegang oleh individu dari Greenland.

Pentadbiran Trump masih belum melantik duta Artik baharu selepas Mike Sfraga meletak jawatan pada Januari lalu.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD