WASHINGTON, 12April –Presiden AS, Donald Trump telah menamatkan perlindungan daripada pengusiran sementara bagi ribuan warga Afghanistan dan Cameroon di Amerika Syarikat, menurut jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) pada Jumaat, menandakan langkah terbaharu dalam dasar keras pendatang oleh Trump.
Sebanyak 14,600 warga Afghanistan yang sebelum ini layak menerima Status Perlindungan Sementara (TPS) akan kehilangan status tersebut pada Mei, manakala sekitar 7,900 warga Cameroon akan kehilangannya pada Jun depan.
Trump, berikrar sejak awal pentadbirannya untuk mengusir sejumlah besar pendatang tanpa izin. Beliau juga segera mengambil tindakan untuk menarik balik perlindungan undang-undang sementara, sekali gus meningkatkan bilangan pendatang yang boleh diusir.
Status Perlindungan Sementara (TPS) diberikan kepada penduduk dari negara yang mengalami bencana alam, konflik bersenjata atau peristiwa luar biasa lain.
Status berkenaan biasanya diberikan untuk tempoh 6 hingga 18 bulan dan boleh diperbaharui oleh Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri. TPS menawarkan perlindungan daripada pengusiran dan akses kepada permit kerja.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Kristi Noem, membuat keputusan bahawa keadaan di Afghanistan dan Cameroon tidak lagi memerlukan perlindungan khas, menurut kenyataan jurucakap DHS, Tricia McLaughlin.
Trump pernah mencuba untuk menamatkan kebanyakan program TPS semasa penggal pertamanya (2017–2021), namun usaha itu dihalang oleh mahkamah persekutuan.
Lebih 82,000 warga Afghanistan dipindahkan ke AS selepas Taliban mengambil alih pemerintahan Afghanistan pada 2021, termasuk lebih 70,000 orang yang masuk melalui status “parol sementara”, iaitu kebenaran masuk sah untuk tempoh dua tahun.
Status TPS kemudian diberikan sebagai perlindungan tambahan, khususnya pada tahun 2023, apabila DHS mengesahkan bahawa konflik bersenjata dan pemberontakan masih berleluasa di Afghanistan.
Namun kini, ramai pendatang termasuk warga Afghanistan yang memasuki AS melalui aplikasi CBP One, mendakwa menerima notis penarikan parol dan diberikan tempoh tujuh hari untuk keluar dari negara itu.
McLaughlin mengesahkan bahawa DHS telah menarik semula beberapa status parol, dengan menyatakan bahawa jabatan tersebut menggunakan "kuasa budi bicara". Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah yang terlibat.
“Mereka yang terkesan disaran untuk mengusir diri secara sukarela menggunakan aplikasi CBP Home,” kata McLaughlin dalam kenyataan lanjut.-REUTERS.