WASHINGTON, 12 April- Seorang lelaki di Amerika Syarikat yang menggunakan nama “Mr Satan” di media sosial telah didakwa atas tuduhan mengugut untuk membunuh Presiden Donald Trump dan beberapa pegawai kerajaan lain, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman (DOJ) pada Jumaat.
Tertuduh, Shawn Monper, 32 tahun, ditahan dan didakwa melalui aduan jenayah persekutuan atas kesalahan membuat ugutan untuk menyerang dan membunuh Trump serta beberapa pegawai agensi persekutuan termasuk ejen Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE).
Dalam satu kenyataan, DOJ memaklumkan bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menerima laporan kecemasan berhubung ugutan yang dimuat naik di YouTube oleh seorang pengguna bernama “Mr Satan”. Hasil siasatan lanjut mendapati aktiviti dalam talian individu tersebut berpunca dari kediaman milik Monper.
Secara kebetulan, Monper berasal dari Butler, Pennsylvania, lokasi di mana Trump hampir maut dalam satu cubaan pembunuhan ketika kempen pilihan raya pada Julai tahun lalu.
Menurut DOJ lagi, tidak lama selepas Trump mengangkat sumpah jawatan pada Januari, Monper telah mendapatkan permit senjata api dan memuat naik komen mengatakan dia telah membeli beberapa pucuk senjata dan menyimpan peluru sejak Trump menjadi presiden.
Pada 17 Februari, beliau menulis: “Tak, kita hanya perlu mula bunuh orang; Trump, Elon (Musk), semua ketua agensi yang Trump lantik, dan sesiapa yang menghalang jalan kita.”
Beliau turut menyatakan bahawa gerakan mereka merupakan majoriti rakyat, dan menuduh kumpulan penyokong Trump (MAGA) sebagai minoriti yang akan lemah dan bangkit menuntut balas. Monper merujuk tindakan itu sebagai Revolusi Amerika 2.0.
Pada 4 Mac, menerusi satu video bertajuk “Live: Trump's address to Congress”, Monper menyatakan hasrat untuk membunuh Trump sendiri, menurut kenyataan DOJ.
Butler Township yang menjadi tempat tinggal Monper juga merupakan lokasi kejadian tembakan pada 13 Julai tahun lalu, di mana Trump hampir maut apabila sebutir peluru mengenai telinganya dalam satu perhimpunan kempen. Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam insiden tersebut.
Peguam Negara AS, Pam Bondi, dalam kenyataannya berkata, “Jabatan Kehakiman akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk ugutan pembunuhan atau keganasan massa. Kami akan menjejaki, menangkap dan mendakwa individu terlibat sehingga hukuman maksimum dijatuhkan mengikut undang-undang.”
Pendengaran kes Monper dijadualkan berlangsung pada 14 April.-AFP