BAITULMAQDIS, 12 April- Tentera Israel pada Jumaat memaklumkan telah memintas sebuah dron yang dikesan memasuki ruang udaranya dari arah timur, sementara satu lagi insiden berlaku di Jordan melibatkan sebuah dron yang terhempas, dipercayai turut dilancarkan oleh kumpulan Houthi.
"Beberapa ketika lalu, sebuah UAV (dron) yang dalam perjalanan menuju ke wilayah Israel dari arah timur telah berjaya dipintas oleh tentera udara Israel (IAF)," kata kenyataan tentera Israel, tanpa memperincikan lanjut insiden tersebut.
Sejak konflik Gaza meletus antara Israel dan Hamas pada Oktober 2023, kumpulan Houthi dari Yaman berulang kali melancarkan serangan menggunakan dron dan peluru berpandu ke arah Israel, dengan kebanyakannya berjaya dipintas sebelum memasuki ruang udara negara itu.
Menerusi kenyataan di laman web rasmi mereka, kumpulan Houthi menyatakan mereka telah melancarkan dua dron ke arah dua sasaran ketenteraan Israel di kawasan jajahan Jaffa, terletak di selatan Tel Aviv.
Houthi turut menegaskan komitmen mereka kepada rakyat Palestin yang tertindas dan berikrar untuk terus memberikan sokongan dan tidak akan berundur daripada perjuangan mereka.
Sementara itu, media Jordan melaporkan satu lagi dron dipercayai dari Yaman telah dipintas oleh Israel ketika melalui kawasan Laut Mati.
Namun, menurut sumber tentera Jordan, sebuah dron yang tidak dikenali telah menceroboh ruang udara negara itu dan terhempas di kawasan Ma’in, di wilayah Madaba, kira-kira 30 kilometer dari ibu negara Amman.
Tiada kecederaan dilaporkan, namun serpihan dron itu telah mencetuskan kebakaran kecil di kawasan berbukit yang dipenuhi tumbuhan. Anggota tentera dan pasukan pertahanan awam Jordan bertindak segera bagi mengawal dan memadamkan kebakaran.
Selain Houthi, kumpulan Islamic Resistance in Iraq yang turut disokong Iran, mengaku bertanggungjawab ke atas beberapa serangan terhadap Israel sejak bermulanya perang di Gaza.-AFP