fb fb fb fb fb

Tragedi bot karam: Enam maut, berpuluh lagi masih hilang

TRIPOLI, 26 April - Pasukan penyelamat Lubnan melakukan pencarian mangsa yang terselamat di laut Mediterranean selepas sebuah bot penyeludupan manusia yang lebih muatan karam ketika dikejar tentera laut.

Sekurang-kurangnya enam penumpang maut dalam tragedi yang berlaku di luar bandar pelabuhan utara Tripoli. Berpuluh-puluh lagi penumpang dipercayai masih hilang.

Kemalangan di laut yang paling buruk dalam beberapa tahun ini telah mencetuskan kemarahan orang awam tiga minggu sebelum pilihan raya parlimen.

Orang ramai yang bersimpati memenuhi jalan-jalan di Tripoli ketika majlis pengebumian dua daripada mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan.

Mereka menembak senjata api ke udara sebagai tanda protes.

Tentera Lubnan berkata, "48 penumpang telah diselamatkan namun masih tidak jelas jumlah sebenar pencari suaka yang berada di atas bot ketika ia karam,"

Menurut agensi pelarian PBB, UNHCR, bot itu membawa sekurang-kurangnya 84 penumpang ketika karam kira-kira 5.5 kilometer di luar pantai.

Media tempatan melaporkan, penumpang bot termasuklah pelarian warga Syria dan Palestin dengan kebanyakannya adalah warga Lubnan.


(FOTO AFP)

Media Baharu