Menurut laporan tahunan APHR Ahli Parlimen yang menggunakan mandat mempertahan hak asasi manusia menjadi sasaran melalui tuduhan jenayah, ancaman dan gangguan, keganasan fizikal dan penahanan/FB APHR)
KUALA LUMPUR, 26 April - Ahli Parlimen Hak Asasi Manusia (APHR) ASEAN pada Ahad menghantar surat terbuka menyuarakan kekecewaan terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) yang hampir tidak menunjukkan sebarang kemajuan dalam menyelesaikan situasi politik dan kemanusiaan di Myanmar.
Menurut laman sesawang APHR, surat itu ditujukan kepada sembilan pemimpin kumpulan itu kecuali Myanmar dan rakan dialog bersempena ulang tahun pertama 5PC pada 24 April.
Antara yang terkandung dalam surat itu, APHR memaklumkan ketua junta Jeneral Kanan Min Aung Hlaing gagal melaksanakan 5PC dan oleh itu sudah tiba masanya untuk ASEAN mengenakan sekatan berikutan penderitaan berterusan rakyat Myanmar dan tindakan junta yang langsung tidak mengendahkan rakan serantaunya.
"ASEAN kini harus menerima hakikat, sudah berulang kali Hlaing tidak berniat sama sekali untuk mematuhi Konsensus melainkan jika diberi tekanan yang kuat untuk berbuat demikian.
“Penting bagi negara-negara anggota memberi tekanan lebih hebat kepada junta supaya rakyat tidak terus dianiaya dan tidak menjadikan Myanmar sebagai sebuah negara yang gagal, dan berusaha ke arah memenuhi aspirasi rakyat Myanmar untuk keamanan dan demokrasi,” menurut surat itu.
(Menteri Luar Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menghadiri sesi pemukiman mereka di Phnom Penh, Kemboja, 17 Feb. 2022/AP)
APHR mengemukakan tiga syor untuk menghentikan kekejaman tentera Myanmar, mempertanggungjawabkan pelaku dan memulakan proses sebenar ke arah keamanan dan demokrasi.
Pertama, menjadikan jawatan Duta Khas ke Myanmar lebih berkesan dengan memastikan individu yang dilantik didedikasikan secara eksklusif untuk misi itu, dilantik secara jangka panjang dan bertindak untuk ASEAN secara menyeluruh, dan bukan berdasarkan penggiliran Pengerusi ASEAN.
Kedua, menetapkan tempoh masa dan mekanisme penguatkuasaan jika tidak 5PC akan menjadi sia-sia.
Ketiga, ASEAN harus segera dan secara terbuka bertemu dengan Kerajaan Perpaduan Negara (NUG) serta wakil Pertubuhan Bersenjata Etnik (EAO) menerusi dialog untuk memastikan semua suara didengari.
APHR juga menegaskan rancangan ASEAN untuk menyampaikan bantuan melalui PPusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) belum sampai kepada rakyat yang memerlukan.
Justeru, ASEAN harus segera memulakan kerjasama dengan organisasi awam dan masyarakat tempatan, serta agensi antarabangsa yang berkaitan, untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Myanmar.
Sementara itu, sebagai respons kepada surat terbuka APHR kepada pemimpin ASEAN, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah telah memanggil kumpulan itu untuk bertemu dan berbincang mengenai perkara berkenaan.
“Terima kasih atas surat itu. Saya telah bertemu secara tidak rasmi (vc) Menteri Luar @NUGMyanmar dan Pengerusi NUCC sebelum Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang lalu. Mari bertemu dan berbincang,” ciapnya di Twitter. -BERNAMA