fb fb fb fb fb

Rusia beri amaran konflik Ukraine cetus Perang Dunia ke-3

(Menteru Luar Rusia Sergei Lavrov (Kanan) bertemu Menteri Luar Kazakhstan
Mukhtar Tleuberdi (Kiri)di Moscow pada 22 April 2022/Fail AFP)

KIEV, 26 April- Konflik Rusia - Ukraine boleh mencetuskan perang dunia ke-3. Amaran yang disuarakan Moscow itu antara perkembangan terbaharu selepas pencerobohan tentera Rusia di wilayah Ukraine kira-kira dua bulan lalu.

Serangan terbaharu juga menyaksikan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 18 lagi cedera selepas Rusia melancarkan serangan roket terhadap stesen kereta api di Vinnytsia, tengah Ukraine.

Perkara itu disahkan pejabat ketua pendakwaraya Ukraine.

AS MAHU “MELEMAHKAN” RUSIA

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd Austin berharap perang di Ukraine akan memincangkan tentera Rusia.

“Kami hendak melihat Rusia menjadi lemah sehingga ke tahap tidak mempu berbuat apa-apa seperti dilakukan ketika pencerobohan di Ukraine,” katanya selepas mengadakan lawatan di Kiev bersama Setiausaha Negara, Antony Blinken.

"Ukraine boleh memenangi perang, jika memiliki perlatan yang betul," tambahnya. Austin dan Blinken turut menjanjikan bantuan bernilai AS$700 juta (653 juta euro) tambahan bantuan ketenteraan semasa lawatan mereka.

RUSIA BERI AMARAN PERANG DUNIA KE-3

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov memberi amaran sebenar bahawa Perang Dunia ke-3 boleh berlaku susulan konflik di Ukraine.

“Bahaya yang serius, nyata, anda tidak boleh memandang remeh, katanya kepada agensi berita Interfax.


(Sisa peluru berpandu yang dikumpul di Kharkiv susulan pencerobohan
tentera Rusia. Gambar pada 25 April 2022/AFP)

RUNDINGAN DAMAI DITERUSKAN

Lavrov turut menyatakan rundingan damai bersama Ukraine akan diteruskan dan mengkritik pendekatan rundingan diambil serta menyalahkan Presiden Volodymyr Zelensky berpura-pura mahu berunding.

“Niat baik ada hadnya. Tetapi jika tiada timbal-balas, ia tidak membantu proses rundingan, kata Lavrov.

DIPLOMAT AS KEMBALI

Blinken mengesahkan bahawa para diplomat Amerika Syarikat yang dipanggil pulang ketika awal pencerobohan Rusia, akan beransur-ansur kembali ke Kiev.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mencalonkan pegawai perkhidmatan asing, Bridget Brink untuk menjadi duta seterusnya.

Beberapa negara Eropah juga telah membukan semula kedutaan di Kiev sejak kerajaan Rusia menarik balik tenteranya dari rantau tersebut.

TIADA PERJANJIAN DI MARIUPOL

Tentera Rusia berkata Kiev menghalang pemindahan orang awam dari kilang keluli Azovstal, Mariupol dimana tentera Ukraine berjaya bertahan di bandar pelabuhan yang dikepung itu, walaupun telah mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak atau ‘unilateral’.

Ukraine mempertikai perkara itu dan mengatakan bahawa Moscow tidak bersetuju dengan permintaan Ukraine untuk memindahkan orang awam dan tentera yang cedera.

PUTIN UCAP TAHNIAH KEPADA MACRON

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengucapkan tahniah kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron atas pemilihan semula sebagai presiden setelah mengetepikan pesaingnya, pemimpin berhaluan kanan, Marine Le Pen yang dilihat ada hubungan dengan Moscow.

ICC SERTAI SIASATAN JENAYAH

Ketua Pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan menyertai pasukan siasatan Kesatuan Eropah (EU).

Ia bagi menyiasat kemungkinan berlaku jenayah kemanusiaan di Ukraine, kata agensi kerjasama kehakiman EU -- kali pertama mereka mengambil bahagian dalam siasatan antarabangsa bersama.

DIPLOMAT JERMAN DIUSIR

Moscow menyatakan, mereka telah mengusir 40 diplomat Jerman selepas Berlin menghantar pulang 40 diplomat Rusia awal bulan ini.

KENDERAAN PELANCAR PELURU BERPANDU UK

Setiausaha Pertahanan UK, Ben Wallace berkata London akan menghantar kenderaan berperisai ke Ukraine yang berupaya menembak peluru berpandu terhadap pesawat pejuang Rusia.

RUSIA TEMBAK DRONE UKRAINE

Kerajaan wilayah Kursk, Rusia yang bersempadan dengan Ukraine memaklumkan, tentera Rusia berjaya menembak jatuh dua drone dari Ukraine.

Lokasi kejadian di daerah Kursk Rylsky yang terletak di sempadan Rusia – Ukraine.

Dua orang turut dilaprkan cedera di sebuah perkampungan wilayah Belgorod, Rusia, kata gabenornya yang menyalahkan tentera Ukraine.

5.2 JUTA PELARIAN

Lebih 5.2 juta penduduk Ukraine sudah meninggalkan Ukraine sejak Rusia memulakan pencerobohan dua bulan lalu.

Menurut PBB, dalam tempoh 24 jam terbaharu lebih 45,000 orang telah meninggalkan Ukraine. -AFP

Media Baharu