fb fb fb fb fb

Tragedi 'beef Wellington' cendawan beracun, bekas editor akhbar berdepan tiga pertuduhan bunuh

Erin Patterson didakwa membunuh kedua-dua mentuanya serta seorang lagi tetamu dengan menjamu hidangan 'beef Wellington' yang dimasak bersama cendawan beracun ketika makan tengah hari, Julai lalu

MORWELL, 3 November- Seorang wanita yang dituduh membunuh ibu bapa mentuanya dengan menghidangkan cendawan beracun ketika makan tengah hari beberapa bulan lalu hadir di mahkamah pada Jumaat.

Bekas editor surat khabar, Erin Patterson didakwa pada petang Khamis, kerana menghidangkan 'beef Wellington' beracun yang membunuh tiga tetamu dan meracuni seorang paderi.

Polis sebelum ini mencadangkan hidangan itu dicampur dengan cendawan cap beracun sekali gus membawa kepada penahanan Patterson awal minggu selepas tiga bulan siasatan dilakukan.

Wanita berusia 49 tahun itu diapit oleh pengawal ketika tiba di Mahkamah Majistret Valley Latrobe pada pagi Jumaat, kelihatan tenang sepanjang perbicaraan.

Dia akan kembali ke mahkamah pada Mei tahun depan selepas polis mendapat penangguhan 20 minggu, memberi masa kepada detektif untuk memilih komputer yang dirampas dari rumah Patterson.

Patterson didakwa memasak 'beef Wellington' pada akhir Julai, menjamu ibu bapa mentuanya Don dan Gail Patterson, kedua-duanya berusia 70 tahun, serta paderi Baptist tempatan Ian Wilkinson, 69, dan isterinya Heather, 66.

Don, Gail dan Heather meninggal dunia beberapa hari selepas itu manakala Ian akhirnya pulih selepas hampir dua bulan mendapatkan rawatan di hospital.

Patterson berulang kali mengatakan dirinya tidak bersalah.

Dia juga telah didakwa dengan tiga lagi tuduhan cubaan membunuh, berpunca daripada insiden berasingan pada 2021 dan 2022 di mana seorang lelaki berusia 48 tahun jatuh sakit selepas dijamu makan.

Cendawan cap beracun tumbuh melata di seluruh wilayah yang mengalami iklim basah dan hangat di Australia serta mudah disalah anggap sebagai jenis yang boleh dimakan.

Cendawan jeni itu berasa lebih manis daripada jenis cendawan lain tetapi mempunyai toksin kuat yang perlahan-lahan meracuni hati dan buah pinggang.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE