NEW YORK, 23 Ogos – Sekurang-kurangnya beberapa penumpang maut manakala ramai lagi cedera apabila sebuah bas pelancong yang membawa lebih 50 orang terbabas dan terbalik di sini pada Jumaat.
Bas berkenaan dalam perjalanan pulang ke New York City selepas lawatan sehari ke Air Terjun Niagara, sebelum dilaporkan hilang kawalan dan terjunam ke dalam parit.
Jurucakap Polis Negeri New York, James O’Callaghan berkata, siasatan awal mendapati pemandu gagal mengawal kenderaan yang sedang dipandu pada kelajuan tinggi.
“Kenderaan ini tidak melanggar mana-mana kenderaan lain. Ia hilang kawalan, masuk ke bahu jalan, cuba membetulkan arah tetapi akhirnya terbalik di dalam parit.
Ramai masih terperangkap, manakala beberapa mangsa tercampak keluar ketika impak,” katanya.
Beliau turut mengesahkan seorang kanak-kanak antara yang terkorban.
Namun, jumlah rasmi mangsa yang meninggal dunia masih belum diumumkan.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Erie County, Mark Poloncarz dalam kenyataan di X mengesahkan terdapat “beberapa kematian dan banyak kecederaan serius” dalam nahas itu.
Difahamkan majoriti penumpang ialah warga keturunan India, China dan Filipina yang menyertai lawatan sehari ke destinasi pelancongan popular berkenaan.
Pasukan penyelamat masih berada di lokasi bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam bangkai bas. -AFP