fb fb fb fb fb

Tradisi lumba kerbau serikan pesta tahunan di Chonburi

FOTO REUTERS

CHONBURI, 6 Oktober - Wilayah Chonburi di timur Thailand, kira-kira 120 kilometer dari Bangkok, kembali meriah dengan penganjuran pesta lumba kerbau tahunan yang menarik ratusan penduduk setempat, semalam.

Tradisi yang berusia lebih seabad itu pada asalnya diadakan sebagai tanda penghargaan kepada haiwan tersebut atas jasa mereka membantu kerja-kerja pertanian.

Kini, acara itu menjadi tarikan pelancong dari seluruh rantau dengan kerbau yang dilatih khas untuk lumba, berlari pantas di atas trek berlumpur diiringi sorakan penonton.

Pesta berkenaan turut diserikan dengan perarakan berwarna-warni pada waktu pagi serta penyertaan masyarakat setempat daripada pelbagai peringkat umur.

Ketika menanti perlumbaan bermula, pengendali menyiram air ke badan kerbau bagi menyejukkan haiwan itu, namun ada juga kerbau yang enggan berdiri di garisan mula sehingga mencabar kesabaran penganjur.

Walaupun insiden jatuh dan kecederaan kerap berlaku, termasuk kepada penunggang muda seawal usia 10 tahun, pesta lumba kerbau kekal menjadi acara tradisi paling dinanti di Chonburi setiap tahun.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE