BEIJING, 6 Oktober - Pesawat pejuang J-10C buatan China yang dilengkapi sistem avionik dan rangkaian sistem pengesan canggih dikatakan memiliki keupayaan luar biasa dalam kesedaran medan perang serta peperangan elektronik.
Ketua perekanya, Wang Haifeng, yang juga ahli Akademi Kejuruteraan China berkata, sistem avionik pesawat generasi baharu itu menandakan satu lonjakan besar dengan penggunaan radar tatasusunan berfasa aktif (active phased array radar) sebagai teras utama.
Katanya, sistem radar berkuasa tinggi itu membolehkan pencarian dan penjejakan sasaran dilakukan dengan lebih pantas serta tepat, sekali gus memberikan kelebihan ketara berbanding radar imbasan mekanikal konvensional.
“Ini dipanggil kon hidung. Apabila kon hidung ditanggalkan, terdapat panel tatasusunan di bawahnya. Semakin besar tatasusunan, semakin jauh jarak penglihatan radar. Oleh itu, kami mereka radar bersaiz besar dengan kuasa tinggi agar dapat mengesan lebih banyak sasaran, melihat lebih jauh serta mencapai ketepatan dan kestabilan yang lebih tinggi. Maklumat pesawat musuh kemudian dihantar melalui pautan data ke peluru berpandu untuk mengawal hala tujunya,” katanya dalam temu bual bersama China Central Television (CCTV).
Selain sistem avionik yang dipertingkatkan, aplikasi sistem peperangan elektronik turut menjadi keistimewaan utama J-10C. Sistem itu membolehkan pesawat mengesan sasaran tanpa dikesan musuh, sekali gus memberikan kelebihan taktikal di medan perang.-REUTERS