SIDOARJO (INDONESIA), 6 Oktober - Suasana pilu menyelubungi perkarangan hospital di Sidoarjo apabila keluarga mangsa menunggu proses pengecaman mayat pelajar yang terkorban dalam tragedi runtuhan sekolah agama Al Khoziny, yang kini mencatat sekurang-kurangnya 50 kematian.
Kebanyakan mangsa merupakan pelajar lelaki remaja, yang tertimbus di bawah runtuhan konkrit bangunan asrama sekolah di wilayah Jawa Timur minggu lalu.
Pihak berkuasa berkata, kerja-kerja pembersihan hampir selesai, dan pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari serta mengeluarkan mangsa dari timbunan runtuhan.
Rakaman agensi penyelamat menunjukkan petugas membawa keluar beg mayat berwarna jingga dari sisa bangunan yang musnah.
Antara yang terkorban ialah Muhammad Maulidi Hasani, 16 tahun, dan sepupunya Albi, 13 tahun.
Bapa dan datuk mangsa, Abdul Wahid, reda menerima takdir itu.
“Tidak perlu saling menyalahkan. Saya sudah reda, mungkin ini sudah ketentuan Allah untuk anak dan cucu saya,” katanya sebak.
Pihak berkuasa memaklumkan, runtuhan berlaku akibat kerja pembinaan di tingkat atas yang tidak mampu ditampung oleh struktur asal bangunan. - REUTERS