TEHRAN, 6 Oktober - Iran menyatakan sokongan terhadap sebarang inisiatif yang dapat menamatkan pertumpahan darah di Gaza, kata jurucakap Kementerian Luar negara itu, Esmaeil Baghaei, pada Isnin, sebagai maklum balas terhadap pelan damai Gaza yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Bagaimanapun, Baghaei memberi amaran bahawa pelan berkenaan mempunyai dimensi berbahaya dan berisiko menghadapi halangan daripada Israel, sambil menegaskan sebarang keputusan berkaitan pelan itu perlu diserahkan kepada rakyat Palestin sendiri.
Trump sebelum ini menggesa Israel menghentikan serangan udara di Gaza bagi membolehkan rundingan damai dimulakan, termasuk perbincangan tidak langsung antara Israel dan Hamas di Sharm el-Sheikh, Mesir, pada Isnin, yang menumpukan kepada usaha pembebasan semua tebusan yang masih ditahan.
Namun, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, pada Sabtu menyifatkan langkah menghentikan serangan sebagai “kesilapan besar”, dengan alasan ia boleh melemahkan kedudukan Israel dalam mencapai matlamat membebaskan tebusan, menumpaskan Hamas serta melaksanakan penyahmilitaran Gaza.
Dalam sidang media sama, Baghaei turut mendedahkan Iran kini berbincang dengan Perancis mengenai kemungkinan pertukaran tahanan, melibatkan dua rakyat Perancis yang ditahan sejak Mei 2022 dengan seorang warga Iran yang ditahan di Perancis.
Perancis pada Jumaat sekali lagi menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat tiga rakyatnya yang ditahan di Iran, namun enggan mengulas mengenai kemungkinan pertukaran tahanan yang disebut oleh Menteri Luar Iran minggu ini.
Dua daripada tahanan tersebut, Cecile Kohler dan pasangannya Jacques Paris, telah ditahan sejak 2022 dalam keadaan yang disifatkan oleh Paris sebagai “seperti penyeksaan”, sementara seorang lagi, penunggang basikal berusia 18 tahun berdarah campuran Perancis-Jerman, turut ditahan Julai lalu.
Baghaei turut menegaskan bahawa Perancis tidak pernah memaklumkan kepada Tehran sebab penahanan Mahdieh Esfandiari, seorang pelajar Iran di bandar Lyon, yang ditahan tahun ini susulan hantaran media sosial anti-Israel.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah menahan puluhan warga asing dan mereka yang mempunyai dua kewarganegaraaan, kebanyakannya atas tuduhan berkaitan pengintipan. Kumpulan hak asasi manusia dan negara Barat menuduh Tehran menggunakan tahanan asing sebagai alat rundingan, dakwaan yang dinafikan Iran.-REUTERS