ANKARA, 25 Mei - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dinasihatkan membawa Ankara keluar dari Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) jika ditekan untuk meratifikasi keanggotaan Sweden dan Finland.
Nasihat tegas itu disuarakan pemimpin Parti Nasionalis, Devlet Bahceli yang menyifatkan Turki tidak akan hilang bisa tanpa NATO.
Tegas Bahcelli, negara Turki wujud bukan kerana NATO dan meninggalkan NATO harus berada dalam agenda Erdogan sebagai alternatif jika keadaan terus mendesak.
Selain itu, beliau turut mencadangkan Turki untuk merealisasikan cadangan pakatan pertahanan negara-negara berbahasa Turki dan negara-negara majoriti Muslim untuk menggantikan NATO.
(Mesyuarat berhubung usaha Finland untuk menyertai NATO di Ankara yang dihadiri oleh
jurucakap Presiden Turki, Ibrahim Kalin dan Setiausaha Negara Finland pada 25 Mei/Foto Khidmat Akhbar Presiden Turki AFP)
Turki yang juga anggota NATO adalah negara yang paling tegas untuk menafikan akses keanggotaan Sweden dan Finland.
Kedua-dua negara secara rasmi memohon keahlian kepada NATO kerana kebimbangan mengenai keadaan keselamatan selepas perang Rusia-Ukraine.
Ankara menafikan akses tersebut dan mendakwa kedua-dua negara itu dituduh membantu militan Kurdish yang memusuhi Turki.