BRUNEI, 25 Mei - Brunei akan menamatkan Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 pada 31 Mei ini.
Sehubungan itu, garis panduan dan langkah-langkah pengawalan virus itu akan dikemas kini mulai 1 Jun.
Media tempatan melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mohd Amin Liew Abdullah berkata, antara kemaskini itu termasuk tiada sebarang had dikenakan bagi perkumpulan ramai.
Turut dikemas kini, tiada lagi had jumlah kehadiran terhadap semua aktiviti sukan termasuk penonton.
Mulai 1 Jun, kanak-kanak bawah umur 12 tahun dibenar untuk ke masjid.
Bagaimanapun, syarat penggunaan tikar sembahyang sendiri semasa solat Jumaat dan fardu dikekalkan.
Peraturan pemakaian pelitup muka turut dikekalkan di dalam bangunan awam dan di kawasan terbuka yang sesak.
Perubahan tersebut mengambil kira keadaan jangkitan harian COVID-19 yang stabil dan kadar vaksinasi yang tinggi.