fb fb fb fb fb

Empat juta orang terjejas akibat banjir di Bangladesh - PBB

SYLHET, 26 Mei - Sekurang-kurangnya empat juta orang terjejas dalam kejadian banjir terburuk dalam tempoh hampir dua dekad di timur laut Bangladesh.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bencana yang berlaku minggu lalu telah menenggelamkan 70 peratus kawasan di daerah Sylhet dan 60 peratus daerah Sunamganj.

Banjir tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang maut dan lebih 2 juta penduduk terkesan.

Ketua Pusat Ramalan dan Amaran Banjir, Arifuzzaman Bhuiyan, berkata kedua-dua sungai Surma dan Kushiara mencapai paras tertinggi sejak rekod bermula pada 1970-an.

“Ia adalah antara banjir terburuk dalam sejarah timur laut negara,” katanya.

"Paras air di kedua-dua sungai mencecah kira-kira 1.75 meter (5.7 kaki) di atas paras bahaya pada ketinggian banjir minggu lalu".

Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan tahap kerosakan lebih tinggi dengan lebih empat juta orang di lima daerah di timur laut negara itu terjejas akibat banjir.

"Meragut nyawa, menjejaskan kehidupan, rumah dan sekolah amat menyayat hati. Dalam bencana ini, seperti kebanyakan yang lain, kanak-kanak adalah yang paling terdedah," kata Sheldon Yett, Wakil UNICEF ke Bangladesh.


(Orang ramai melalui jalan yang dinaiki air selepas hujan lebat di Sylhet/AFP)

Bangladesh telah menutup semua sekolah dan kolej di rantau tersebut.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 350 sekolah telah dijadikan tempat perlindungan dengan lebih 8,500 orang yang dilanda banjir mencari perlindungan bersama haiwan ternakan.

Pengawai kanan pengurusan bencana, Netai De Sarker berkata, kira-kira 1.23 juta orang masih terkandas, meskipun air telah mulai surut.

Beliau berkata kerajaan telah menghantar 140 pasukan perubatan bagi membantu penduduk yang terjejas dan mencegah penyakit bawaan air.

Banjir adalah ancaman biasa kepada berjuta-juta orang di Bangladesh dan negara jiran timur laut India, tetapi ramai pakar mengatakan bahawa perubahan iklim meningkatkan kekerapan, keganasan dan tidak dapat diramal.-AFP

Media Baharu